Klik klik

Isnin, September 14, 2009

Renungan

Terimakasih kepada ciklee yang memanjangkan emel ini..

Tazkirah Ustaz Sabri Rani

Kisah-kisah menarik untuk dijadikan iktibar. Semoga kita bersyukur atas apa yang Allah kurniakan kepada kita selama ini. Fahamilah juga keadilan Allah yang telah berjalan selama ini ke atas kita.

Kisah 1 :

Kisah seorang pakcik yang bekerja di sebuah Felcra di Kedah. Hasil daripada jualan kayu getahnya yang telah ditebang untuk ditanam semula, beliau memperolehi sejumlah wang yang agak banyak iaitu Rm70 ribu. Seumur hidup beliau tidak pernah memegang duit sebanyak itu. Beliau lalu mengajak seorang teman untuk bersama beliau pergi ke Agro Bank menguruskan duit tersebut ke dalam buku akaunnya.

Sampai di sana, di muka pintu bank beliau berjumpa dengan seorang kanak-kanak yang sedang memegang tabung derma. Lalu budak itu meminta derma daripada beliau lalu beliau berkata spontan, "Kejap, pakcik nak masuk dalam".

Selesai urusan bank beliau berkata kepada sahabatnya. "Kau kenal aku kan? Aku orang kampung biasa tetapi aku lebih miskin dari engkau. Aku bawa kemiskinan warisan yang diwarisi daripada ibu bapak aku. Seingat aku, aku tak pernah letak dalam tabung masjid lebih dari rm1. Tapi kali ini tuhan bagi aku rezeki lebih RM 70 ribu. Aku nak kau jadi saksi di akhirat nanti, aku nak masukkan rm10."

Sememangnya pakcik ini seorang kampung yang lurus. Lalu dia membaca bismillah lalu meletakkan sejumlah rm10 ke dalam tabung tersebut. Selepas itu, beliau pun berbual dengan budak itu. Sahabatnya berkata kepada beliau," kau sembanglah dulu, aku tunggu di kereta".

Sepuluh minit selepas itu beliau bergegas ke kereta sahabatnya. Sewaktu melintas jalan, beliau tidak perasan sebuah kereta dari sebelah kanan beliau sedang bergerak laju. Kereta itu melanggar lalu beliau melambung dan terjatuh di atas boot kereta itu. Kereta itu melanggar beliau untuk kali kedua. Beliau mati serta merta dengan memegang buku bank ditangan kanan beliau.

Kisah 2:

Kisah yang mungkin tidak pernah terfikir dan didengar oleh kita. Seorang Pakcik yang duduk di sebuah felda bersama isterinya. Memiliki dua orang anak yang baik dan mempunyai kerja yang bagus. Seorang telah berkahwin selama 11 tahun tetapi belum mempunyai anak dan seorang lagi belum berkahwin. Setiap bulan mereka akan mengirim sejumlah wang yang berjumlah seribu lebih setiap orang. Dengan kiriman wang tersebut pakcik itu tidak lagi bekerja dan mengupah orang untuk mengerjakan ladang miliknya.

Sampai masanya, ladang itu diserah milik kepada beliau. Suatu hari sebuah konsortium berminat untuk membeli tanah-tanah di felda itu dan berunding dengan penduduk felda. Akhirnya semua penduduk di tanah rancangan itu bersetuju menjual tanah mereka dan menandatangani perjanjian dengan konsortium tersebut.

Tuah diperolehi dan ladang pakcik itu dijual dengan harga RM900,000. Bukan satu jumlah yang kecil. Namun apa yang dilakukan oleh pakcik itu suami isteri? Pakcik itu membuka sebuah buku akaun semasa di sebuah bank. Seterusnya beliau suami isteri dengan kereta milik beliau pergi menjelajah dari Pahang ke Kedah. Kemudian dari Perlis ke Kelantan, Terengganu sehinggalah habis seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

Apa yang dilakukan oleh beliau suami isteri? Beliau singgah di setiap masjid dan surau yang dilalui. Seterusnya berjumpa dengan AJK surau di situ lalu bertanya," Jika orang ingin berderma, atas nama apa?" Seterusnya beliau akan menulis sebuah cek yang berjumlah RM 10,000. Begitulah yang dilakukan oleh pakcik ini di setiap surau dan masjid sehinggalah akaun beliau hanya tinggal RM20,000 sahaja.

Baki itu digunakan untuk beliau suami isteri untuk mengerjakan umrah. Beliau mempunyai satu hajat yang benar-benar dihajati untuk dipohon kepada Allah. Di depan Kaabah dan Raudhah beliau bermohon dengan sungguh-sungguh." Ya Allah aku memohon satu hajat kepadaMu setelah segala apa yang kau kurniakan kepada aku. Aku bersyukur kepadaMu setelah apa yang Engkau mudahkan untuk aku. Aku telah memberi sesuatu yang Engkau kurniakan atas mudahnya segala yang Engkau berikan kepada aku."

" Hanya tinggal dua orang anak yang engkau kurniakan kepadaku. Dan ini permintaanku kepadaMu. Aku minta Engkau bahagiakan hidup mereka, bertemu dengan isteri yang baik dan mendapat anak-anak yang soleh. Aku pohon kepada Engkau agar mereka jangan menyusahkan aku dan isteriku di dalam kuburku nanti." Itu lah doa yang dipohon oleh beliau dengan bersungguh-sungguh.

Setelah pulang daripada umrah setibanya di KLIA beliau disambut oleh dua orang anak lelaki beliau. Kehairanan. Beliau bertanya di mana menantu beliau. Lalu anak lelaki beliau terus meminta beliau masuk terlebih dahulu ke dalam kereta. Lalu mereka bercerita. "Abah, kami dah bercerai". Terkejut besar. Pada masa itu pakcik itu merasakan dada beliau seperti meletup.

Beliau merintih," Ya Allah! Di mana keadilanMu? Inikah jawapanMu setelah aku bermunajat kepadaMu? Aku telah memberikan sesuatu yang paling baik di dalam hidup aku, aku minta satu saja supaya anak aku bahagia. Tapi ini jawapanMu terhadap permintaanku." Sungguh si ayah merasakan Allah itu sedang menzalimi beliau. Hampir-hampir beliau hilang pertimbangan.

Masalah itu diketahui oleh seorang ustaz lalu beliau bergegas berjumpa dengan guru beliau. Guru beliau yang mempunyai banyak pengalaman ini meminta supaya beliau dijumpakan dengan si ayah dan anak secara personal.

Apabila sampai masa yang ditetapkan maka sang ayah dan anak berjumpa dengan tuan guru tersebut. " Duhai anak, ceritakanlah sebenarnya apa yang berlaku sepanjang 11 tahun kamu berkahwin dengan isteri kamu. Beritahu perkara sebenar supaya ayah kamu mengetahui apa yang terjadi kepada kamu berdua", pinta tuan guru tersebut kepada anak pakcik itu.

Betapa sang ayah terkejut. Apa yang diberitahu oleh anak beliau betul-betul membuka mata beliau. "Duhai ayah, sebelas tahun kami bersama tetapi kami tidak pernah tidur bersama sekalipun. Kami berkahwin bukan atas suka tetapi kerana pertunangan kami diatur oleh ayah dan bapa mertua saya sewaktu di felda. Selama ini kami berpura-pura dan berlakon di depan ayah".

Kata anak beliau itu menyebabkan beliau terduduk. Langsung tidak disangka itu yang terjadi sebenarnya. Segala apa yang dilihat hanya untuk mengambil hati beliau. Lalu beliau kembali bermunajat," Ya Allah! Aku terima ketentuan dari Engkau. Tapi takkanlah macam ni...".

Akhirnya selepas 6 bulan berjauhan, sesuatu yang ajaib terjadi. Si anak begitu mengambil berat perihal bekas isterinya. Begitu juga isteri terhadap bekas suaminya. Kedua-duanya begitu mengambil berat antara satu sama lain. Sakit, pening, makan dan minum semuanya cuba diuruskan oleh masing-masing. Maka timbullah rasa rindu dan kasih. Maka timbullah hati untuk kembali bertaut dan akhirnya mereka kembali berkahwin dan hidup bersama.

Alhamdulillah, baru sahaja dua minggu lepas si ayah mendapat cucu yang pertama. Lalu sang ayah kembali berdoa," Ya Allah! Kini aku mengerti akan keadilanMu. Ampunilah aku." Di sinilah sang ayah mengerti bagaimana keadilan itu berjalan. Bagaimana dengan kita?

Benar! Cerita di atas bukannya sebuah kisah rekaan. Tetapi kisah benar sebagai renungan bersama.

Pengajaran kisah 1: Mana harta lelaki itu yang sebenar? RM 70 ribu atau RM 10 yang didermakan. Sudah tentu hanya RM10. Ini kerana harta adalah yang kita bawa pulang ke akhirat sana. Apa yang tidak boleh di bawa pulang maka dia bukan harta kita yang sebenarnya. Beruntung lelaki itu memberi RM10.

Mungkin ramai di antara kita yang mengatakan bahawa sungguh beruntung lelaki itu jika beliau mendermakan keseluruhan duit yang beliau ada iaitu sebanyak rm70 ribu sebelum mati. Itu pandangan kita sebagai orang awam - "Ish! Kalaulah dia tahu selepas itu dia mati, sepatutnya dia derma RM 70ribu.

Namun, jika dia memberi RM70 ribu tidak semestinya dia lelaki yang baik. Ini kerana berasaskan hadis-hadis sahih Rasulullah," Jangan kamu mati dengan meninggalkan anak-anak kamu sebagai fakir dan meminta-minta kepada manusia. Lelaki itu sudah membuat suatu perkara yang besar. Iaitu menamatkan kemiskinan warisan. Dia telah meninggalkan sesuatu untuk anak dan isterinya menyambung hidup.

Yang lebih bermakna, tercetus rasa untuk dia menderma sebanyak rm10 dan tidak berkira. Mungkin biasa bagi kita, tetapi pada dia amat besar nilainya rm10 itu. Disisi Allah mungkin nilai itu untuk orang seperti dia melebihi RM1 juta. Setiap rasa ada nilai di sisi Allah.

Pengajaran kisah 2: Bagaimana keadilan Allah berjalan tanpa kita memahaminya. Sesungguhnya Allah melaksanakan segala qada dan qadarnya dan ia sesuatu di luar kemampuan akal kita untuk berfikir. Semoga kita tergolong dalam manusia yang sabar dan redha dengan ujian Allah.

4 ulasan:

  1. Kak Cik,
    Cerita yang kak cik tulis ni betul2 penuh pengajaran. Kita sebagai manusia ni kadang2 kita lupa apa yang Allah jadikan itu adalah yang terbaik untuk diri kita.

    BalasPadam
  2. Salam Kak Cik..

    Terima kasih atas sebuah kisah pengajaran yang sangat baik..zai berdoa semogak kita tidak dijadikan diantara golongan mereka yang bakhil..

    BalasPadam
  3. Echam.. bukan kakcik yang tulis, kakcik cuma copy n paste, sebab kakcik rasa banyak pengajarannya untuk kita renungkan bersama...

    BalasPadam
  4. Salam Zai...

    betul - mudah2an menjadi pengajaran kepada kita.

    BalasPadam

Catatlah apa saja..saya sedia membaca...